fbpx

Ramai orang muda tunai umrah, cipta memori di haramain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bukit Uhud merupakan antara lokasi ziarah di Madinah. Foto oleh NORLIDA AKMAR IDROS

MEKAH – Semakin ramai orang muda termasuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga menunaikan umrah serta melakukan ziarah di Mekah dan Madinah, saban tahun.

Mutawif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Muhamad Zaki Ridzuan atau dikenali sebagai Pak Tam berkata, ia sudah menjadi trend kepada orang muda menggunakan wang simpanan masing-masing untuk mengerjakan umrah.

“Orang muda buat umrah sekarang ini memang ramai yang mana mereka telah bekerja, bahkan ada yang baru berkahwin menunaikan umrah seterusnya melakukan ziarah di haramain iaitu di Mekah dan Madinah.

“Sesetengah itu ada yang mak ayah beri pakej umrah sebagai hadiah perkahwinan,” katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, orang muda yang mempunyai keupayaan daripada segi tenaga dan kewangan sangat digalakkan mengerjakan umrah seberapa segera.

“Jika mempunyai peluang untuk menunaikan umrah atau haji pada usia muda, tunaikanlah ibadah tersebut kerana ketika muda ini, tenaga kita banyak. Bila dah berusia, tenaga kita terbatas, tidak seperti orang muda,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, dia berasa seronok dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan 65 anak muda jati Kelantan sepanjang menunaikan umrah dan melakukan aktiviti ziarah termasuk menelusuri kesan sejarah Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda di Mekah dan Madinah.

“Mereka ini bukan sahaja muda bertenaga, malah semangat nak beribadah pun ada. Ia mungkin kerana latihan yang telah mereka lakukan dari Malaysia lagi, jadi dengan semangat beribadat itu, kita dan orang lain juga tumpang bersemangat,” jelasnya.

Kesemua anak muda Kelantan itu merupakan kumpulan pertama ditaja menunaikan umrah secara percuma oleh Andalusia setelah lulus solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin di Kelantan selama 30 hari tanpa gagal atau 90 waktu bagi waktu solat maghrib, isyak dan subuh.

Andalusia berbesar hati menawarkan tajaan pakej umrah itu kepada 200 anak muda jati Kelantan menerusi program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI