fbpx

Terbuka Malaysia: Arif-Roy King kecewa tewas mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF (depan) dan Roy King kelihatan sugul selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kegagalan untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke set penentuan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 nyata mengecewakan beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, gandingan No.23 dunia itu terpaksa akur tewas 17-21, 11-21 kepada beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Arif berkata, dia berasa sedikit rugi kerana tidak mengambil kesempatan untuk cuba memberikan saingan kepada pasangan lawan yang lebih berpengalaman, lebih-lebih lagi dengan status Seung Jae sebagai juara dunia.

“Satu pengalaman yang cukup bagus kerana dapat beraksi menentang salah satu beregu terbaik. Rasa agak sayang kerana tidak dapat mengheret perlawanan sekurang-kurangnya ke set ketiga, jadi sedikit rugi di situ.

“Selepas ini, jika kami bertemu lagi, mungkin kita mahu lawan mereka sehingga ke set penentuan ataupun catat kemenangan. Hari ini, mereka ada kelebihan dari segi servis dan lebih konsisten,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Roy King pula mengakui ia sebagai satu penghormatan dapat beraksi menentang Seung Jae yang dianggap sebagai salah seorang pemain kegemarannya dalam arena badminton dunia.

“Satu penghormatan untuk saya bukan sahaja dapat bermain dengan dia (Seung Jae), malah pemain-pemain ternama yang lain. Saya banyak belajar daripada mereka, langkah demi langkah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI