fbpx

Kerajaan kaji langkah lebih berkesan tangani isu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan akan mengkaji strategi dan melaksanakan langkah-langkah lebih berkesan dalam menangani isu penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas membanteras jenayah ‘scam’ menerusi kewujudan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan dan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan.

Katanya, beliau juga telah membincangkan berkenaan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa bersama dengan Timbalan Menteri Kewangan semalam.

“Petang semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying bersama Bank Negara Malaysia telah menerima kunjungan saya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membincangkan isu penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.

“Langkah-langkah seperti peralihan daripada penggunaan OTP berasaskan SMS, pengetatan peraturan pengesahan dan penubuhan talian khas untuk melaporkan penipuan kewangan telah memberikan hasil yang positif. Namun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Nie Ching sebelum ini memaklumkan sebanyak 56,294 kandungan berunsur penipuan diturunkan dengan kerjasama MCMC sejak Januari hingga 1 Disember lalu, sebagai usaha membanteras jenayah dalam talian.

Katanya, Malaysia turut merekodkan kerugian sebanyak RM1.224 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu akibat penipuan dalam talian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI