KUALA PILAH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya di Tampin, sejak pertengahan tahun 2019.
Lelaki berusia 40-an itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan sumbang mahram sejak pertengahan 2019 yang ketika itu anak tirinya berusia 16 tahun sehingga 6 Disember tahun lalu.
Lelaki yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan disebabkan mempunyai penyakit, namun ditegur hakim memandangkan rayuan hanya untuk jaminan.
Hakim menetapkan tiada jaminan dibenarkan dan kes disebut semula pada 12 Februari ini. – KOSMO! ONLINE