PETALING JAYA – Bukan seperti selebriti lain, pelakon Diana Danielle memilih untuk tidak membeli baju baharu Aidilfitri nanti demi mengelakkan pembaziran.
Malah, Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, mengakui lebih rela menggayakan baju pemberian orang tanpa sebarang masalah.
“Saya tidak akan membazir pada barang yang tidak penting.
Bila kita sambut raya, saya tak beli baju baharu dan hanya beli untuk anak-anak. Kalau orang bagi, saya pakai sahaja tidak kisah cantik atau tak sebab saya tak beria-ia.
“Kalau tengok sebelum ini pun, memang saya pakai biasa sahaja,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Selain itu, pelakon filem Imaginur itu turut enggan membelanjakan wang pada makanan jenis buffet yang dianggap membazir.
Saya juga tidak pergi makan buffet kecuali memang ada majlis yang melibatkan kerja.
“Namun, saya tak akan pergi sendiri sebab membazir. Sepatutnya, ramadan kita tak perlu berbelanja pada barang yang kita tak perlu,” ujarnya.
Sebelum ini, Diana pernah mendedahkan terpaksa menggali 5,000 gaun di sebuah butik pakaian untuk menghadiri majlis anugerah tanpa mengambil khidmat penata gaya. – KOSMO! ONLINE