PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang memperhalusi mekanisma cadangan kerjasama di antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan dibuat dengan lebih lanjut bersama pihak Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia.
“Segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham memaklumkan, kerajaan telah memperoleh komitmen daripada beberapa buah hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit Covid-19 bergantung kepada kapasiti dan kepakaran sedia ada.
Menurutnya, komitmen itu diperoleh hasil perbincangan KKM dengan pemegang taruh hospital swasta termasuk APHM dan beberapa syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menentukan hala tuju pengurusan pandemik Covid-19 negara.
Katanya, pihak APHM telah mengenal pasti sebanyak 1,138 buah katil termasuk 70 buah katil kritikal di 97 buah hospital swasta di seluruh negara.
“KKM berharap kerjasama dan usaha yang dijalankan oleh semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan Covid-19 di negara kita,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berkata, hospital swasta bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit Covid-19 dan juga bukan Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. – K! ONLINE