Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
WALAUPUN ada segelintir pihak memandang permainan video daripada sudut negatif, namun masih ada juga insan yang berfikiran sebaliknya dengan menjadikan permainan e-Sukan sebagai medium atau tali pengikat hubungan kasih sayang sesama mereka.
Itulah yang dilakukan oleh Muhammad Faiz Ishak, 29, ketika mula-mula ‘menjebak’ isterinya, Nur Afiqah Kolin, 26, ke dalam dunia sukan elektronik itu kira-kira lima tahun lalu.
“Sebelum berkahwin, isteri saya memang tidak pernah bermain sebarang permainan video dan dia hanya mengenali permainan tersebut selepas berkahwin dengan saya.
“Alhamdulillah, dia memahami saya serta cepat belajar dan mudah faham bagaimana untuk mengawal sesuatu permainan video itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muhammad Faiz yang menggunakan nama Ez Isaac’s Official ketika beraksi memberitahu, meskipun bermain permainan video sejak kecil, namun dia hanya mula serius melibatkan diri dengan aktiviti penstriman permainan video sejak dua tahun lalu.
Katanya, apabila melakukan aktiviti penstriman, dia berpeluang merakam aksinya ketika bermain permainan video untuk dijadikan kenang-kenangan.
“Kalau dahulu, saya hanya simpan memori bermain permainan video dalam ingatan sahaja, namun dengan adanya platform seperti ini (penstriman langsung) ada juga kenangan untuk saya,” ujarnya yang mengakui masih lagi belajar untuk menjadi seorang penstrim permainan video yang lebih baik.
Aktif dalam permainan video bertemakan battle royale terkenal iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile atau PUBGM, anak kelahiran Kepala Batas itu juga sering beraksi dalam beberapa permainan video lain seperti Pro Evolution Soccer (PES) Mobile, Grand Theft Auto (GTA) V serta beberapa permainan video lain.
“Selalunya, kalau bermain (permainan video) bersama isteri, kami akan berentap dalam beberapa permainan tertentu sahaja iaitu permainan yang menjadi kegemaran isteri seperti PUBGM dan GTA V,” katanya yang kini bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Perlis.
Bagi menunjukkan rasa kasih sayangnya yang tinggi terhadap si isteri, Muhammad Faiz turut ‘membangunkan’ sebuah komputer peribadi direka khusus untuk isterinya yang juga berasal dari Kepala Batas memainkan permainan video.
“Saya bersyukur kerana hubungan kami suami isteri semakin rapat hanya disebabkan minat yang sama iaitu bermain permainan video,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Ujar Muhammad Faiz, selain laman Ez Isaac’s Official yang dikongsi bersama isterinya yang menggunakan nama Eiqa Isaac’s, dia juga pernah memiliki sebuah pasukan khusus untuk bermain PUBGM dikenali sebagai Jelly Gaming.
Pasukan yang turut dianggotai oleh rakan sekerjanya itu bagaimanapun tidak pernah menyertai sebarang pertandingan dan akhirnya dibubarkan.
“Saya juga pernah menyertai pertandingan sebanyak tiga kali semasa bersama pasukan Darkness Soul kira-kira dua tahun lalu,” katanya.
Ketika ini, kata Muhammad Faiz, dia sedang cuba untuk mendapatkan Supporter Badge atau Lencana Penyokong di laman Ez Isaac’s Official dalam usahanya untuk meningkatkan pengaruh selain cuba mendapatkan penaja atau rakan strategik di laman Facebook untuk tujuan sama.