SHAH ALAM – Lima daripada 100 inidividu yang menjalani saringan Covid-19 di Klinik Selcare dikatakan positif jangkitan tersebut.
Pengurus Operasi Klinik Selcare Sdn. Bhd., Mohd. Noor Md. Nasir berkata, mereka yang didapati positif akan dirujuk kepada doktor yang merawatnya selain diberikan bimbingan.
“Kita mengangarkan lima daripada 100 berisiko positif Covid-19 selepas membuat saringan. Setakat ini, seramai 1,500 individu telah menjalani saringan Covid-19 di 16 cawangan klinik Selcare di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Menariknya, kita menerima ramai kontak rapat kepada individu yang positif hadir secara sukarela untuk membuat saringan di cawangan Klinik Selcare, secara tidak langsung ia dapat mengurangkan beban Kementerian Kesihatan dalam usaha mengesan kontak rapat,” katanya ketika dihungi Kosmo! hari ini.
Kata beliau, ramai syarikat telah tampil menghantar pekerja termasuk warga sing untuk membuat saringan di Klinik Selcare termasuk individu perseorangan.
Mohd. Noor menjelaskan harga yang ditawarkan adalah mengikut jenis saringan iaitu Covid-19 RTK (Rapid Test Kit) bernilai RM140 bagi keputusan dalam tempoh 45 minit.
“Selain itu, sampel Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pula dikenakan pada harga RM250. Keputusan boleh diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam. – K! ONLINE