JOHOR BAHRU – Enam individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan samun sehingga mendatangkan kecederaan dalam empat serbuan berasingan di Masai dan Pasir Gudang, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun ditahan antara pukul 1 hingga 6 pagi di empat buah rumah berasingan.
Shahrulanuar berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek ini disyaki terlibat jenayah terhadap seorang mangsa dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 pagi di sebuah kedai runcit di kawasan Ulu Tiram, Jumaat lalu.
“Hasil serbuan dan penahanan kesemua suspek dilakukan, pihak polis turut berjaya menjumpai dan merampas pelbagai barang kes hasil kejadian samun tersebut iaitu dua buah telefon bimbit milik mangsa.
“Turut berjaya dirampas adalah pakaian dan kelengkapan diri suspek semasa melakukan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar berkata, polis turut berjaya menjumpai semula sebuah motosikal dilaporkan hilang di kawasan Seri Alam pada Jumaat lalu yang telah dipasang nombor pendaftaran palsu.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek termasuk seorang wanita positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah dengan dua orang suspek adalah individu dikehendaki pihak polis bagi kes 2016 dan 2017 yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut selain untuk mengenalpasti dan menyelesaikan kes-kes lain yang mungkin turut melibatkan kumpulan suspek ini,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan samun dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebatan.
Kumpulan suspek ini juga disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri sebuah kenderaan motor susulan penemuan motosikal yang dilaporkan hilang itu. – K! ONLINE