fbpx

75 notis saman dikeluarkan dalam Ops Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 75 notis saman menerusi Ops Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini tiga hari lalu.

Operasi pihak JPJ bersama Polis Diraja Malaysia ( PDRM) Kelantan itu diadakan di enam lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang dikenal pasti sepanjang PKP.

Pengarah JPJ Kelantan , Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam operasi itu, pelbagai kesalahan dikesan terutamanya melibatkan aspek teknikal seperti mengubah suai kenderaan dan lesen tamat tempoh.

“Meskipun Ops Covid -19 ini dijalankan dengan kerjasama pihak polis, namun kesalahan tertentu kita akan keluarkan notis kepada pemandu.

“Polis pula tetap mengeluarkan saman sekiranya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak mempunyai surat kebenaran polis atau majikan ketika urusan rentas daerah dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan di SJR di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, secara purata, sebanyak 23 hingga 25 notis saman dikeluarkan setiap hari bermula Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, menurutnya, operasi itu merupakan langkah terbaik untuk mengelakkan pengguna jalan raya daripada keluar tanpa sebarang tujuan sekali gus dapat mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu, masyarakat perlu faham dalam situasi negara sekarang ini. Mereka perlu terus patuh SOP dan tahu bahawa hanya dua orang sahaja dibenarkan berada dalam kenderaan.

“Jika didapati tiada keperluan, kita akan mengarahkan mereka berpatah balik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI