PETALING JAYA – Sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Seremban dan Port Dickson selama 14 hari bermula esok sehingga 1 Februari 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kadar insiden jangkitan di daerah itu sangat tinggi dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.
“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah Zon Merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim. Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes.
“Manakala di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah pada hari ini, 18 Januari 2021 seperti yang dijadualkan.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 53 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini terkawal dimana kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Januari 2021 dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah yang dijadualkan tamat pada hari ini, 18 Januari 2021. – K! ONLINE