PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan upacara Thaipusam pada tahun ini di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kementerian Perpaduan Negara menerusi kenyataan akhbar berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 Tahun 2021.
Menurutnya, keputusan itu juga adalah selaras dengan pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu.
“Keputusan ini diambil susulan perbincangan Kementerian Perpaduan Negara dengan Ketua-Ketua Agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM).
“Kementerian juga mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara Thaipusam di rumah-rumah ibadat (kuil) di negeri masing-masing pada tahun ini kecuali kerajaan negeri Perlis,” katanya.
Katanya, kementerian turut mengambil maklum kenyataan media oleh Malaysia Hindu Sangam (MHS) pada 12 Januari 2021 yang tidak membenarkan sebarang upacara Thaipusam di rumah-rumah ibadat (kuil) di bawah MHS di seluruh negara.
Pada masa sama, katanya, mesyuarat teknikal juga bersetuju bahawa upacara Thaipusam boleh dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kebenaran.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri yang berkenaan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
“Sehingga kini, hanya kerajaan negeri Perlis di bawah PKPP yang membenarkan upacara Thaipusam,” katanya.
Antara SOP yang ditetapkan bagi sambutan Thaipusam di Perlis adalah perarakan pedati perak untuk membawa Dewa Murugan adalah tidak dibenarkan dan tempoh waktu sembahyang dan aktiviti keagamaan dibenarkan mulai 27 hingga 29 Januari ini mulai pukul 5 pagi hingga 5 petang. -K! ONLINE