SEREMBAN – Lesen memandu tamat tempoh merupakan kesalahan paling tinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 43 kes sepanjang dua hari Operasi Codenamed @ Op Covid-19 yang dijalankan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021.
“Dalam tempoh dua hari, sebanyak 321 kesalahan oleh pengguna jalan raya direkodkan dalam Operasi Codenamed @ Op Covid-19 oleh pihak JPJ.
“Lesen perjalanan yang sudah tamat tempoh merupakan kesalahan paling tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 43 kesalahan manakala paling rendah membabitkan tujuh kesalahan tiada cukai jalan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat operasi kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban dan perkhidmatan JPJ Mobile yang disediakan di pintu masuk bangunan berkenaan.
Menurut Zailani, penugasan anggota JPJ lebih kepada kesalahan merentas sempadan melibatkan kenderaan perdagangan.
“Misalnya dalam bas, penumpang naik tetapi tiada surat rentas sempadan, perkara itu juga kita akan kita fokuskan.
“Selain itu, perkara lain adalah kesalahan melibatkan penyalahgunaan permit perjalanan di mana mereka hanya boleh ke tempat tertentu tetapi mereka ke kawasan lain juga, kalau tak buat satu kawalan dan seliaan di lapangan maka mereka akan salahguna (permit perjalanan),” katanya.
Dalam pada itu, Zailani berkata, pihaknya bersedia untuk menambah bilangan anggota JPJ yang kini berjumlah 1,200 anggota sedia bagi membantu PDRM dalam Op Covid-19 tersebut.
“Saya akan lihat kalau ada keperluan akan tambah, sebab saya juga dihubungi oleh Ketua Polis Negara untuk minta bantuan (penambangan anggota JPJ dalam Op Covid-19).
“Bagi saya sebagai salah satu agensi penguat kuasa tidak boleh untuk tidak bekerjasama, lebih-lebih lagi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 ketika ini,” katanya. -K! ONLINE