fbpx

Lari tinggalkan motosikal, air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Azmir Damiri (kanan) menunjukkan air ketum dan motosikal yang ditinggalkan oleh seorang lelaki dalam Op Rentas Negeri di Kampung Golok, Pasir Puteh hari ini. Foto TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan sebotol air ketum sebanyak 1.5 liter selepas dia terbabas ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) lorong tikus di Kampung Golok di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, lelaki yang memakai beg sandang itu sanggup meninggalkan motosikal jenis Honda RS150 dan melompat pagar berdekatan sebelum dapat meloloskan diri menyusup ke dalam semak.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis turut menahan dua orang lelaki dipercayai penagih dadah yang cuba melalui laluan tikus dengan menunggang sebuah motosikal dari laluan Gong Manak ke cabang tiga kampung Golok.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui peralatan menagih dadah bersama mereka termasuk jarum suntikan. Kedua-dua suspek yang mengaku pernah dimasukkan ke penjara dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, sebuah motosikal yang ditinggalkan dan motosikal jenis Honda EX5 turut dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Op Rentas Negeri dan sekatan jalan raya di lorong tikus Kampung Golok di sini hari ini yang disertai oleh 25 anggota termasuk lima pegawai polis.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmir berkata, dalam tempoh lebih tiga jam operasi itu dijalankan, sebanyak tiga kompaun bagi kesalahan rentas negeri dan 21 saman trafik bagi pelbagai kesalahan Akta Pengangkutan Jalan dikeluarkan.

Menurutnya, sebanyak 53 orang dan 50 kenderaan diperiksa bagi mengesan pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan narkotik.

“Kesalahan trafik yang dikesan antaranya menunggang motosikal tanpa topi keledar, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Ujarnya, satu pasukan khas telah ditugaskan untuk memantau lorong tikus di laluan Kampung Golok-Beris Baru, Besut, laluan Kampung Bukit Awang-Jertih dan laluan Pantai Pachakan – Kuala Besut.

Katanya, pasukan itu akan m mengekang kes rentas negeri tanpa kebenaran dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI