JEREZ – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso mengakui terkejut selepas meraih kedudukan podium pada saingan Grand Prix (GP) Sepanyol minggu lalu dan kini bersedia untuk meneruskan momentum cemerlang pada GP Andalusia di Litar Jerez, Ahad nanti.
Sebagai rekod, Dovizioso berjaya melakar kedudukan podium di Litar Jerez buat pertama kali meskipun rekod jentera Ducati pada litar itu sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.
Bagaimanapun, perlumbaan GP Andalusia yang turut dilangsungkan di Litar Jerez membuka peluang buat jaguh kelahiran Itali itu untuk memperbaiki kedudukan selepas ketinggalan di belakang Mark Vinales dan Fabio Quartararo minggu lalu.
“Ia adalah perlumbaan yang sukar pada GP Sepanyol tetapi kami berjaya meraih keputusan yang boleh saya katakan agak mengejutkan. Namun, saya menganggapnya sebagai perangsang untuk meraih keputusan lebih baik pada minggu ini.
“Saya anggap banyak perkara positif yang boleh diambil pada aksi pertama musim ini dan beberapa kelemahan juga sudah dikenal pasti terutama dari sudut kepantasan jentera.
“Justeru, saya harap beberapa kelemahan dapat ditambah baik dan mata maksimum dapat diraih walaupun keadaan di Jerez dijangka kekal dengan cuaca panas,” kata Dovizioso.
Sementara itu, rakan sepasukan Dovizioso, Danilo Petrucci dapat bangkit selepas gagal meraih sebarang mata pada GP Sepanyol selepas mengalami kecederaan ketika sesi ujian.
“Saya sudah berehat dan harap dapat cergas sepenuhnya untuk bersaing pada GP Andalusia. Saya yakin sekiranya segala yang dirancang berjalan lancar, sasaran untuk meraih kedudukan lima teratas boleh direalisasikan,” katanya. – AGENSI