fbpx

Orang Asli berkurung dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang berkurung dalam rumah dengan mengikut arahan pihak kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Gua Musang – Rata-rata masyarakat Orang Asli di daerah ini dilihat patuh dengan arahan kerajaan dengan mengurung diri mereka di dalam rumah dan mengamalkan penjarakan fizikal sesama mereka.

Mereka juga menghentikan aktiviti masuk ke hutan seperti mencari akar kayu dan memburu binatang sejak tiga hari lalu.

Tindakan mereka itu salah satunya adalah kerana tidak mahu dijangkiti Covid-19 sekiranya keluar bebas dengan bercampur dengan masyarakat.

Penghulu Orang Asli Kampung Sengsang, Pos Brooke, Nasir Busu berkata, penduduk juga bimbang dengan penularan wabak Covid-19 apabila Gua Musang sudah dikategorikan sebagai zon merah.

Katanya, penghulu di kampung lain juga telah bersepakat dengan menasihati penduduk supaya tidak bebas keluar rumah.

“Pemantauan turut dilakukan oleh ketua keluarga Orang Asli bagi memastikan ahli keluarga berkurung dalam rumah sepanjang tempoh arahan berkenaan.

“Menjadi rutin keluarga Orang Asli sejak awal pagi akan masuk ke hutan untuk mencari rezeki, namun mereka tidak lagi berbuat demikian sejak tiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Pos Brooke, Isa Alang, 41, berkata, penduduk Orang Asli yang kebanyakannya bekerja di kebun sayur turut tidak keluar dari rumah mereka.

Katanya, kebanyakan ibu bapa juga mengawal anak mereka daripada bermain di luar rumah kerana bimbang dengan penularan wabak terbabit.

“Penduduk Orang Asli mematuhi arahan ketua masyarakat mereka apabila keluar untuk melakukan urusan penting atau membeli barangan keperluan sahaja dalam tempoh Covid-19 ini.

“Jika tiada keperluan penting, mereka hanya berkurung di rumah kerana sudah faham dengan arahan kerajaan dan bahaya penyakit Covid-19,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI