GEORGE TOWN – Penunggang dan pembonceng sebuah motosikal yang terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung di sini semalam dikatakan melarikan diri daripada polis sebelum melanggar sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati, kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu berlaku selepas tiga anggota unit rondaan bermotosikal (URB) terserempak dengan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar.
“Polis mengarahkan mereka berhenti, namun ingkar dan melarikan diri sebelum anggota URB mengejar mereka.
“Ketika sampai di persimpangan lampu isyarat Tesco Tanjung Tokong, motosikal mereka terlanggar sebuah kereta yang dalam perjalanan dari George Town menuju Tanjung Bungah,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Soffian berkata, akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng terjatuh dan cedera, manakala kereta mengalami kerosakan iaitu kemek pada bonet sebelah kanan serta lampu dan bampar pecah.
Terdahulu, kejadian itu tular di laman sosial sejak semalam apabila terdapat dakwaan mengatakan anggota polis telah menendang motosikal mereka hingga terbalik.
Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya meminta orang ramai agar tidak menyebrkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden itu supaya tidak mengelirukan orang ramai.
“Siasatan kejadian ini masih dilakukan dan mereka yang mempunyai maklumat lanjut boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Shahrul Nizam Abdullah di talian 010-9771 517. – K! ONLINE