LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum dilaporkan menolak tawaran terakhir untuk kekal bersama pasukan itu kerana mahu memenuhi impian menyertai kelab idamannya, Barcelona.
Masa depan Wijnaldum, 30, terus menjadi tanda tanya memandangkan kontraknya bersama The Reds yang bernilai £75,000 (RM411,374) seminggu bakal berakhir hujung musim ini.
Kapten Belanda itu dikatakan mahu mengikut jejak legenda-legenda negaranya seperti Johan Cruyff, Ronald Koeman dan Frank Rijkaard menyarung jersi Barcelona dalam karier profesional mereka.
Semangatnya untuk beraksi dengan Barcelona semakin berkobar-kobar selepas Koeman yang pernah bekerjasama dengannya di Belanda, kini merupakan ketua jurulatih skuad gergasi Sepanyol tersebut.
Bagaimanapun, Liverpool dikatakan sedang mencuba sedaya upaya untuk melanjutkan kontrak Wijnaldum yang merupakan antara watak penting dalam kejayaan mereka menjulang gelaran Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris dua musim sebelum ini.
Difahamkan, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membeli Thiago Alcantara daripada Bayern Munich musim ini sebagai jaminan sekiranya Wijnaldum enggan terus memberikan komitmen masa depannya di Anfield.
“Seperti saya katakan sebelum ini, saya amat menggemari corak permainan Wijnaldum dan dia amat penting bersama Liverpool. Tiada apa lagi yang perlu saya ulas,” kata Klopp. – AGENSI