RIYADH – Juara tiga kali Rali Dakar, Nasser Al-Attiyah yang terlepas gelaran pada musim 2021 kemungkinan tidak akan menyertai perlumbaan tersebut pada musim akan datang sekiranya penganjur mengekalkan peraturan yang sama.
Al-Attiyah antara individu yang lantang menuntut penganjur kejohanan untuk mengkaji semula peraturan antara jentera ‘buggy’ dan jentera pacuan empat roda (4×4) yang dilihat sebagai tidak adil.
Jelas Al-Attiya, perlumbaan Rali Dakar hanya menguntungkan jentera buggy yang menggunakan pacuan dua roda jika dibandingkan 4×4 berdasarkan beberapa eleman termasuk jenis dan dimensi ukuran tayar, panjang casis dan sebagainya.
Kemenangan Stephane Peterhansel di Rali Dakar 2021 kelmarin memberikan kejuaraan kelima buat pasukan yang menggunakan jentera buggy dalam tempoh enam tahun kecuali musim lalu apabila Al-Attiyah yang menggunakan jentera Toyota Hilux 4×4 berjaya menyekat penguasaan mereka.
“Saya gembira dengan apa yang kami capai pada perlumbaan ini. Pasukan telah melakukan yang terbaik, namun kami masih gagal untuk menewaskan jentera buggy.
“Sebaik mana anda memandu sekali pun, sukar untuk mengejar jentera buggy. Mereka telah lima kali menjuarai perlumbaan. Saya berharap pihak penganjur memperhalusi semula peraturan tersebut supaya ia lebih adil,” katanya.
Sepanjang 12 peringkat perlumbaan, hanya Al-Attiyah yang mampu memberi tekanan kepada jentera buggy dan pelumba Qatar itu hanya dipisahkan 15 minit dengan juara 2021, Peterhansel. – AGENSI