SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah membuat pengagihan tambahan kakitangan bertugas melalui penempatan semula dalam negeri atau dari negeri lain bagi memastikan keperluan sumber manusia mencukupi di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Penambahan itu melibatkan Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Pembantu Perawatan Kesihatan dan pengambilan pegawai kontrak baru oleh Ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital berkenaan.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, penambahan ini dibuat bagi memastikan semua fasiliti dapat memberikan rawatan yang cekap dan berkualiti kepada para pesakit.
“Ia juga sebagai tanda JKNS mengambil berat persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan anggota kesihatan yang berkerja di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini.
“Dalam keadaan krisis seperti sekarang, adalah amat penting bagi pihak JKNS, hospital, pejabat kesihatan daerah serta klinik kesihatan untuk mengekalkan semangat, kerjasama dan motivasi dalam kalangan anggota kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berkenaan surat seorang doktor yang disiarkan dalam sebuah portal bertajuk ‘LETTER: A Tired Doctor From Sg.Buloh Ask To Be Treated Humanely’ pada 16 Januari lalu.
Di dalam surat tersebut doktor berkenaan membangkitkan isu bajet dipotong, kekurangan tenaga manusia, kesesakan dan kekurangan kemudahan atau fasiliti.
Beliau turut menjelaskan, petugas di HSB yang terlibat dengan perawatan Covid-19 turut diberikan elaun lebih masa serta elaun-elaun lain atas kelayakan masing-masing seperti yang dipersetujui oleh kerajaan.
“Mengenai pemberian makanan dilakukan atas panggilan dan diberi berdasarkan kelayakan di dalam surat pekeliling KKM. Setakat ini, semua anggota termasuk pegawai perubatan telah dibekalkan makanan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sha’ari berkata, sistem giliran dilaksanakan untuk penugasam
setiap kakitangan termasuk pegawai di wad Covid-19.
“Bagi menjaga kebajikan, setiap wad Covid-19 disediakan ruangan berehat yang selamat (green zone) bagi membolehkan mereka beristirehat, solat, makan dan membersihkan diri (bilik mandi) mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan
“Selain itu, perkhidmatan bantuan awal psikologi atau Psychological First Aid (PFA) untuk memberi sokongan moral dan khidmat nasihat kepada anggota kesihatan yang memerlukan,” jelasnya. -K!ONLINE