SEBERANG PERAI – Seorang lelaki cacat penglihatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan sengaja mencederakan mata kiri untuk mendapatkan tuntutan insurans berjumlah RM1 juta pada Jun 2023.
Tertuduh, Tan Kok Guan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah cuba melakukan satu permohonan tuntutan kemalangan insurans yang disyaki palsu dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kiri untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM1 juta pada 8 Jun 2023.
Bagi pertuduhan kedua, penganggur anak tiga itu didakwa memperdaya syarikat insurans untuk membuat tuntutan palsu sehingga mendorong syarikat berkenaan memasukkan wang tunai sebanyak RM4,153.57 ke dalam akaun Maybank miliknya pada 20 Julai tahun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam, Yaw Xinying.
Semasa prosiding, Airina Syazreena menawarkan jaminan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun Xinying memohon jaminan minima atas alasan anak guamnya sudah tidak sejak tahun lalu dan mengharapkan pendapatan isteri untuk menyara mereka sekeluarga.
“Dia turut menghidap penyakit jantung dan strok namun tetap memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes. – KOSMO! ONLINE