SEBERANG PERAI – Lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang kudung tangan kanan bersama rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan merompak berkumpulan dua guni barang kemas pada 12 Disember lalu.
Tertuduh, Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, dan Mah Cheow Chuen, 43, yang juga OKU bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap dibaca bersama di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun dua guni mengandungi 160 bungkusan barang kemas dengan bersenjatakan sebilah parang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Pusat Perniagaan Oren, Bagan Ajam di sini, pukul 7.35 malam pada 12 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal.
Hakim kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Muhammad Zaim dan Cheow Chuen mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu sebuah computer riba dan satu unit vape yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani. – KOSMO! ONLINE