JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang bakal bergelar bapa dihukum penjara 10 hari beserta denda RM10,000 selain hilang kelayakan memandu selama lima tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana memandu secara berbahaya, Jumaat lalu.
Majistret Mohammad Izham Mohd. Aliyas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Syafiq Jefri, 28, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memandu sebuah kereta secara melulu sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru di sini pada pukul 3.45 pagi, 27 Disember lalu.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Inspektor S. Vikineswary meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh.
“Tertuduh telah memandu melawan arus, membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan, melanggar lampu merah serta memandu secara zig zag dalam cubaan melarikan diri daripada polis,”katanya.
Sementara itu, ketika rayuan dibuat tertuduh meminta hukuman ringan kerana baharu mendapat pekerjaan selain perlu menanggung isteri yang sedang mengandung dan seorang ibu yang uzur.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut setelah memutuskan tertuduh bersalah berdasarkan pengakuan yang dibuat. – KOSMO! ONLINE