fbpx

‘Ketuk dalam bunyi tiada isi, saya malas layan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juri tetap Gegar Vaganza enggan melayan provokasi dicetuskan penyanyi berpengalaman, Man Bai.

SUDAH memasuki musim ke-11, pandangan penyanyi Man Bai yang mendakwa format pertandingan Gegar Vaganza (GV) cuma memalukan peserta terus menjadi polemik.

Hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan pemarkahan terhadap beberapa penyanyi pada edisi kali ini, vokalis Gersang itu mempertikaikan ketelusan juri dalam menilai kualiti peserta.

Baginya, barisan juri profesional tidak mengambil kira kredibiliti dan pencapaian peserta, contohnya penghibur Indonesia Inka Christie yang disingkirkan pada minggu keempat.

Hakikatnya tidak salah mengkritik mahu pun melontarkan pendapat, namun selepas lebih sedekad dianjurkan, selain mengembalikan populariti penggiat seni muzik era lalu tentu sahaja ramai menolak tanggapan Man Bai.

Antara persoalan yang bermain dalam kotak fikiran, mengapa perlu perkara itu disuarakan ketika GV sudah memasuki musim ke-11, malah pada edisi lalu 10 juara bersaing dalam All Stars Gegar Vaganza.

Andai diimbas ketika GV diperkenalkan pada November 2014, bukan tiada yang lantang mempertikaikan penyertaan artis yang rata-rata mempunyai lagu hits serta meraih jualan album tinggi.

Namun, ramai yang sanggup menyahut cabaran biarpun sedar bakal menerima komen pedas barisan juri terutama maestro muzik, Datuk Ramli MS.

Berdepan risiko

Tiada sesiapa yang memaksa atau meletakkan pisau di leher penyanyi untuk menyahut cabaran menyertai program tersebut, sekali gus berani berdepan mulut lahar juri.

Apabila mereka menyerahkan nasib dengan memasuki sesebuah pertandingan, bermakna setiap peserta sudah reda menelan segala komen dan kritikan.

Itu belum termasuk risiko dikutuk netizen yang nyata segala kemungkinan termasuk gosip peribadi kurang elok turut berpotensi menjadi bahan viral.

Apa pun, sebenarnya ramai pengikut program ini terutama barisan penghibur tanah air serta bekas peserta menolak tanggapan Man Bai.

Cef selebriti yang juga penyanyi Datuk Fazley Yaakob, berkata tuduhan tersebut tiada asas apatah lagi setiap peserta diadili juri berpengalaman dalam bidang muzik.

“GV memalukan artis? Tolonglah, sebelum cakap buat kajian dulu! Kenyataan tersebut siap membidas barisan juri yang ternyata ada pengalaman dan asas muzik yang kukuh,” katanya.

Tak layan tin kosong

Ratu Rock Ella yang pernah menjadi juri tahun lalu berkata, GV adalah platform yang baik buat penyanyi menyerlahkan kredibiliti dan bakat sebagai penghibur.

“Saya rasa tidak memalukan, satu program yang sihat. Program ini untuk mencabar diri kita sendiri. Kalau berani dan berminat, mengapa tidak,” ulasnya.

Juri tetap GV, Ramli MS pula enggan melayan kenyataan penyanyi seperti Man Bai yang mengkritik format pertandingan berkenaan.

Ramli menyifatkan kenyataan pelantun lagu Kau Ilhamku itu sebagai ‘tin kosong’ sekadar melemparkan komen tidak berasas.

“Sebenarnya saya memang malas nak layan tong-tong kosong ini. Dia ketuk dalam bunyi tak ada isi, malas nak melayan,” katanya.

Pada masa sama, Ramli turut mempersoalkan kenapa baru sekarang vokalis terbabit mempertikaikan kredibiliti program dan ketelusannya sebagai juri, kenapa tidak dari awal atau musim-musim terdahulu.

Jadi tepuk dada tanya selera, andainya ada lagi edisi ke-12 pada masa akan datang, semua itu bermakna GV tetap relevan serta kredibiliti rancangan tersebut harus dihadam ramai.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN