Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Tiga daerah masih mengalami banjir di negeri ini berikutan aliran Sungai Pahang semakin bertumpu di Maran dan Kuantan sebelum berakhir di hilir Pekan.
Setakat pukul 5 petang tadi, Pekan mencatat bilangan tertinggi dengan angka 1,837 orang mangsa melibatkan 537 keluarga yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan.
Sementara itu, Kuantan merekodkan baki 715 mangsa daripada 157 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan, diikuti Maran dengan 220 orang.
Dalam perkembangan berkaitan, stesen amaran banjir Jabatan Air dan Saliran di Paloh Hinai, Pekan mencatat bacaan semakin surut kepada 10.54 meter, namun masih melepasi paras bahaya 10.3 meter.
Ketiadaan hujan lebat yang diramal Jabatan Meterorologi di negeri ini esok turut memberi petanda positif kepada keadaan banjir yang semakin pulih. -K! ONLINE