PETALING JAYA – Polis merampas 13.3 kilogram heroin bernilai RM1.2 juta selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sini dan Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama dilakukan di Bukit Gasing, di sini kira-kira pukul 5.30 petang, pada 23 Disember lalu.
Katanya, sebuah kereta jenis Honda City diperiksa dan polis menemui 20 ketulan mampat heroin seberat 7.4 kilogram.
“Serbuan susulan pada 27 Disember sekitar pukul 9.30 pagi di sebuah rumah di Puchong pula menemukan 16 ketulan mampat heroin seberat 5.9 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh 900,000 penagih dadah.
Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah,” ujarnya.
Kata Kok Chin, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Disember 2024 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.
“JSJN komited untuk membanteras pengedaran dadah dengan lebih agresif demi memastikan masyarakat Malaysia bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – KOSMO! ONLINE