PAPAR – Dua lelaki termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang ketika mandi di pantai Kampung Bundusan di sini petang semalam.
Dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Rizq Aariz Julkarnain Abd. Aziz, 14 dan Rubern Vitalis, 7.
Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa, Matthew Kana Vitalis,12, dilaporkan selamat manakala individu yang masih hilang dikenali sebagai Karl Marx Vitalis, 48,
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 yang memaklumkan terdapat empat mangsa dipercayai lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
“Seorang mangsa ditemui penduduk kampung sebelum ketibaan pihak bomba. Setibanya di lokasi kejadian, bantuan diberikan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan.
“Seorang lagi mangsa dilaporkan selamat. Mangsa ketiga pula dijumpai terdampar di tepi pantai oleh anggota bomba pada pukul 6.56 petang,
“Ketika ini pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan memyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang,” katanya. – KOSMO! ONLINE