fbpx

PKRC Maeps meriah umpama kem bina semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fakhrul (depan) bergambar kenangan bersama rakan penghuni lain dan jururawat yang bertugas di PKRC Maeps.

PUTRAJAYA – Ini pusat kuarantin Covid-19 atau kem bina semangat? Itu mungkin gambaran awal diberikan penghuni Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) selepas melangkah masuk ke pusat itu bagi menjalani rawatan Covid-19.

Apa tidaknya, penghuni boleh melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa terluang termasuk menyertai aktiviti zumba, senamrobik dan beramah mesra sesama penghuni lain.

Berdasarkan tinjauan terhadap rakaman-rakaman video TikTok dan perkongsian di laman sosial, penghuni pusat kuarantin itu berkongsi pelbagai ragam dan gelagat sepanjang berada di sana.

Ada yang memuat naik video menerusi aplikasi TikTok, menyanyi, bergurau senda dengan petugas barisan hadapan, bergotong royong membersihkan kawasan kuarantin dan membantu mengagihkan makanan kepada penghuni lain.

Malah, penghuni juga akan bersorak meraikan rakan-rakan penghuni yang discaj dan meraikan penghuni yang baru masuk ke pusat itu.

Gambaran dipaparkan itu jelas menunjukkan PKRC Maeps bukanlah satu tempat yang ‘menakutkan’ sebagaimana difikirkan masyarakat di luar sana.

Salah seorang penghuni di pusat itu, Muhammad Fakhrul Aiman Misnon, 20, berkata, dia akui pada mulanya takut apabila dimaklumkan perlu masuk ke pusat itu.

Namun, katanya, selepas beberapa hari, dia mulai selesa selepas bercampur gaul dengan penghuni lain terutama yang ‘satu kepala’.

“Alhamdulillah semuanya baik-baik tidak kira muda, tua atau kanak-kanak walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain.

“Di sini, tak kisah apa pangkat, kerja dan latar belakang, semuanya bergaul mesra dan baik. Kalau jenis pendiam susah dapat kawan tetapi macam saya pula jenis suka berkawan.

“Paling saya tak sangka adalah makanan yang dihidangkan di sini sedap dan menyelerakan macam hotel lima bintang,” katanya yang kini menuntut Kolej Komuniti Bentong, Bentong, Pahang.

Katanya, dia berterima kasih kepada jururawat di PKRC itu atas layanan diberikan dan walaupun mereka juga sebenarnya keletihan.

Selain itu, katanya, dia bertuah kerana berpeluang solat fardu dan solat Jumaat secara berjemaah di dalam pusat kuarantin tersebut.

“Di sini, kami solat tanpa penjarakan fizikal,” katanya yang mula masuk ke pusat itu pada 10 Januari lalu.

Muhammad Fakhrul berkata, dia sudah dibenarkan keluar dari pusat kuarantin ini hari ini. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI