PETALING JAYA – Rakyat Malaysia diseru membuat simpanan dalam Simpan SSPN sebelum 31 Disember ini, bagi menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2024.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, ia insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN yang memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran.
Menurutnya, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
“PTPTN sentiasa komited melaksanakan pelbagai insentif bagi memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka.
“Dengan memperkenalkan Simpan SSPN, kita telah membuka ruang serta peluang kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal usia anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, PTPTN berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan insentif pelepasan taksiran cukai ini kepada pendeposit Simpan SSPN sehingga tahun taksiran 2027.
Beliau berkata, pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan oleh PTPTN bagi membudayakan amalan penabungan, termasuk Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.3 juta menanti 983 pemenang.
“Tempoh promosi bermula pada 1 Januari dan akan berakhir pada 31 Disember.
“Sehingga 30 November lalu, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM19.44 bilion dengan 6.69 juta akaun direkodkan. Ini menunjukkan Simpan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.
Simpan SSPN diperkenalkan oleh PTPTN pada tahun 2004 untuk menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan awal bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.
Ia satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM8,000 setahun.
Ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.
Selain itu, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapat pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu pasangan. – KOSMO! ONLINE