fbpx

Sajian tradisional enak mangkuk tingkat Casuarina Kuala Kangsar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cef Fazi menunjukkan menu lauk tradisional dalam mangkuk tingkat Casuarina Kuala Kangsar baru-baru ini.

KUALA KANGSAR – Peminat makanan tradisional negeri Perak yang mahu merasa menu makanan hasil ‘air tangan’ cef berpengalaman dan juga anak jati negeri, boleh singgah menikmati makanan daripada mangkuk tingkat di Casuarina Kuala Kangsar bermula awal tahun ini.

Idea dan olahan masakan menggunakan bahan mentah segar bakal meninggalkan kenangan unik dan menarik kepada pengunjung malah mereka mahu datang semula mendaftar masuk di hotel yang terletak di Jalan Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar itu.

Bagi mereka yang pernah bermalam di hotel yang terletak berdekatan dengan pelbagai tapak sejarah di bandar tersebut pastinya memberi testimoni yang positif kerana berpuas hati dengan ruang luas bilik-bilik hotel, selesa dan bersih serta menawarkan suasana nyaman kerana dikelilingi pemandangan hijau.

Cef Mohd. Fazi Ramli berkata, pihaknya telah membariskan beberapa menu tradisional negeri Perak dan juga negeri-negeri lain sebagai tambahan dalam kempen promosi menu masakan di Casuarina Kuala Kangsar bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung menjamu selera di Matahari CoffeeHouse dengan berlatar belakangkan pemandangan menarik Sungai Perak.

Salah satu produk terbaharu hotel milik anak syarikat Perak Corporation Berhad itu adalah set mangkuk tingkat yang mengandungi menu makanan lazat seperti nasi putih, ikan patin masak tempoyak, ikan rebus goreng bersama bawang dan juga cili padi, rendang udang, masak lemak beserta ulam-ulaman dan sambal belacan.

“Hidangan itu boleh dinikmati bersama keluarga untuk dua hingga tiga orang dan pastinya ia dapat memenuhi cita rasa selera mereka khususnya bagi peminat makanan tradisional dan kampung,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan di sini baru-baru ini.

Mohd. Fazi yang memiliki pengalaman lebih 36 tahun dalam bidang masakan dan pernah mempromosikan masakan Malaysia di luar negara selain terlibat dalam kumpulan cef memasak untuk jemaah haji di Mekah, mahu mengetengahkan lebih banyak lauk lauk kampung yang semakin dilupakan masyarakat masa kini.

“Perak memiliki pelbagai lauk pauk tradisional yang unik yang menggunakan bahan mentah segar dari pelosok kampung, cara masakan juga berbeza seperti masakan rendang, masak lemak, asam pedas, ikan patin masak tempoyak dan lain-lain lagi, jadi ini adalah peluang saya untuk mengimbau semula kenangan makanan kampung kepada masyarakat bandar termasuk golongan muda,” jelasnya.

Idea terbaharunya nanti mahu menghidangkan tempoyak kacau, ikan keli goreng bercili, terung pipit masak sambal dan pelbagai hidangan lain yang menyelerakan. 

Tidak kurang juga pengenalan menu laksa Kuala Kangsar yang terkenal turut dijamu di hotel bagi memberi kelainan kepada para pengunjungnya.

Selain itu, Casuarina Kuala Kangsar juga sedang mempromosikan set menu kolam renang yang ditawarkan pada harga serendah RM25 seorang sahaja yang membolehkan pengunjung bersantai sambil menikmati club sandwich dan air kordial.

Set makanan bersaiz besar itu cukup berbaloi dengan harga yang ditawarkan dan ia dapat memenuhi keperluan keluarga yang mana ibu bapa dapat menjamu selera dengan hidangan ringkas tapi sedap  sambil melayan anak-anak mandi manda di kolam renang. -KOSMO! ONLINE

  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI