PETALING JAYA – Bila idea datang untuk bercuti di Pulau Pinang, pastinya bayangan Batu Ferringhi dijadikan pilihan kerana ia menawarkan satu pengalaman yang menarik, padat dengan pelbagai tarikan untuk memenuhi hajat bercuti, bersantai, sekadar mahu menikmati makanan di restoran atau bermalam di beberapa hotel terkemuka bertaraf lima bintang di lokasi strategik di kawasan tumpuan pelancong itu.
Jika ada yang masih keliru untuk membuat pilihan hotel yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan percutian keluarga di Batu Ferringhi, maka Double Tree Hilton Pulau Pinang boleh dijadikan pilihan terbaik untuk bercuti, berihat, beriadah, berspa dan menikmati makanan serta minuman yang lazat-lazat.
Terletak di Jalan Low Yat, premis yang terletak di tanah tinggi sedikit dari jalan utama memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan indah di sekelilingnya yang boleh melihat lautan dan juga diapit dengan pelbagai blok kediaman mewah memberi ketenangan diri tatkala duduk berihat di balkoni bilik masing-masing.
Keasyikan menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan itu boleh dilihat dari dalam bilik bertaraf premium itu memberi keselesaan ketika melabuhkan badan di atas bantal yang empuh dan katil besar yang menenangkan diri, pastinya kepenatan memandu hilang seketika beradu di bilik hotel yang mewah itu.
Bila mengecapi kemudahan hotel bertaraf mewah itu pastinya orang ramai tertanya-tanya tentang harga kos semalaman dan jika dibuat perancangan lebih awal, pengunjung boleh membuat tempahan di beberapa platform tempahan hotel yang disediakan pada harga kurang RM400 semalam.
Lebih berbaloi jika pengunjung adalah ahli Hilton Honor yang memberi pelbagai manfaat bagi potongan harga, kumpulan mata untuk ditebus bagi memperoleh percutian percuma pada masa depan atau kemudahan lain yang menjimatkan.
Berbaloi rasanya jika pengunjung mahu mencarikan destinasi percutian yang selesa, padat dengan pelbagai kemudahan untuk seisi keluarga daripada si cilik sehinggalah kepada mereka yang berusia emas kerana layanan yang diberikan oleh para petugas di hotel ini cukup membanggakan.
Lebih menarik setiap kali anda mendaftar masuk di mana-mana hotel di bawah jenama Double Tree by Hilton termasuk di Pulau Pinang ini, selain menerima layanan yang baik daripada petugas, pastinya biskut coklat panas yang segar menceriakan lagi kehadiran mereka menginap di hotel berkenaan.
Bilik yang ditawarkan kepada pengunjung juga bersesuaian dengan bajet masing-masing termasuk yang bercuti bersama keluarga, untuk berbulan madu dan juga ia dapat memenuhi keperluan pengunjung yang datang menghadiri persidangan, mesyuarat dan acara lain.
Terdapat tiga lokasi menarik untuk menjamu selera khususnya bagi pengunjung yang mahu menghabiskan masa di dalam premis hotel itu sahaja yang mana Axis Lounge selalunya diminati pengunjung untuk bersantai pada waktu malam sambil menikmati hiburan di situ selain terdapat sudut permainan dalaman untuk mengisi masa lapang.
The Food Store pula menawarkan suasana santai untuk berbual sambil menikmati teh tarik, kopi, jus buah-buahan dan pelbagai makanan ringan yang dijual pada harga berpatutan.
Lebih menarik, terdapat juga hidangan untuk minum petang bersama makanan enak dengan pakej tawaran untuk menikmati hidangan menyelerakan bersama.
Makan Kitchen pula bersesuaian untuk mereka yang mahu menikmati hidangan bufet makan malam yang ditawarkan pada hujung minggu dengan masakan secara langsung daripada cef mengikut tempahan.
Seperti biasa restoran tersebut juga adalah tumpuan bufet sarapan pagi pengunjung yang menawarkan barisan makanan dan minuman yang menyelerakan bersesuaian untuk semua peringkat umur.
Bagi mereka yang mahukan kelainan untuk makanan tengahari juga, pakej lauk pauk ikan bakar dan beberapa menu berasaskan makanan laut pastinya meninggalkan kenangan yang menarik buat para pengunjung untuk datang berkunjung semula.
Double Tree by Hilton Penang juga terkenal kerana persekitarannya yang mesra keluarga dan kanak-kanak pastinya si cilik begitu teruja menghabiskan masa di kolam renang dan bagi mereka yang suka bersukan boleh mencuba segala peralatan lengkap yang disediakan di gimnasium malah untuk mereka yang mahu memanjakan diri pula boleh mendaftar masuk ke spa yang disediakan. -KOSMO! ONLINE