KPJ Healthcare Berhad komited untuk memastikan penggunaan inovasi dan digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) terhadap sektor penjagaan kesihatan negara sebagai langkah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Selari matlamat tersebut, Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober baru-baru ini telah memberikan satu platform untuk pelbagai pihak melibatkan diri dan berbincang tentang topik-topik kritikal penjagaan kesihatan, termasuk teknologi AI.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, penjagaan kesihatan kini tidak hanya melibatkan rawatan am semata-mata tetapi ia meliputi semua perkara termasuk inovasi dan penggunaan teknologi.
“Saya berpendapat apa yang penting tentang inovasi adalah ia akan menjadi masa depan. Kita tidak lagi bercakap tentang rawatan am, kita bercakap tentang pencegahan, ramalan, ketepatan perubatan dan sebagainya.
“Perubatan tidak boleh lagi secara umum dan saya fikir dengan teknologi, terutama data raya (big data) serta bagaimana kita akan ‘melombong’ data tersebut menggunakan kuasa AI. Ini kerana AI membantu kita memperkemas dan mencapai apa yang kita perlukan,” katanya pada hari terakhir penganjuran MIH Megatrends 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, penggunaan teknologi termasuk AI dan inovasi berpotensi membantu pakar dan pengamal perubatan dalam sektor kesihatan bagi memberikan rawatan yang lebih bersasar kepada pesakit serta penyakit yang dilaporkan sebelum ini.
“Kita menghadapi kesukaran dalam mengenal pasti penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang. Saya fikir sekarang ini kita secara perlahan-lahan dapat melakukannya dan di sinilah KPJ berada.
“Apabila kita memperkenalkan sistem kesihatan KPJ, ia berkisar mengenai penyepaduan, tidak hanya perkhidmatan klinikal semata-mata, tetapi kita bercakap mengenai pendidikan.
“Jadi dengan adanya KPJ Healthcare University, kami bersama-sama melaksanakan penyelidikan terhadap penemuan sains baharu yang mana lebih banyak pelaburan turut dilaksanakan,” jelasnya.
Tambah Keat Chyuan, elemen tersebut apabila digabungkan dengan teknologi serta data raya AI menjadikan KPJ Healthcare ke arah masa hadapan dari segi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik, ditambah kos lebih efektif serta rawatan diperibadikan kepada pesakit.
MIH Megatrends 2024 dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare dan sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Acara itu menghimpunkan lebih 1,500 pemain industri kesihatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan pelbagai pameran kemajuan dan trend terkini yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut berkenan menyempurnakan majlis perasmian MIH Megatrends 2024 serta dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, Keat Chyuan berkata, lebih 5,000 pengunjung menghadiri acara tersebut, sekali gus melebihi jangkaan, manakala kira-kira dua juta pengunjung melayari laman web rasmi MIH Megatrends 2024.
“Maklum balas diterima menunjukkan minat mereka terhadap penjagaan kesihatan.
“Ini adalah pertama kali MIH Megatrends diadakan. Kita sebenarnya telah tonjolkan kepada perspektif global bahawa kita bersedia dari segi penjagaan kesihatan.
“Peningkatan minat itu dipacu oleh faktor Malaysia yang dijangka menjadi negara tua. Malah, KKM sering memberi kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit, kanser, diabetes dan ini merupakan isu utama membebankan masyarakat,” tambah beliau.
Sehubungan itu, katanya, isu kesihatan memerlukan peranan daripada semua pihak termasuk masyarakat, sekali gus tidak hanya bergantung kepada pengamal perubatan, doktor serta hospital semata-mata.
“Kita sering bergantung harap kepada doktor atau hospital, sedangkan seluruh komuniti bertanggungjawab. Dengan adanya MIH Megatrends 2024, untuk pertama kali KKM dengan KPJ serta pelbagai lagi rakan kongsi swasta bersama-sama memberikan yang terbaik untuk sektor kesihatan,” katanya.
Keat Chyuan menjelaskan, selari dengan Malaysia yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, beliau turut menyasarkan penganjuran MIH Megatrends pada tahun depan dengan lebih ramai penglibatan pelbagai pihak berkaitan.
“Kita akan meningkatkannya ke tahap baharu, sebagai contoh lebih 100 pempamer terlibat, menjadikannya acara lebih besar. Ia tidak hanya tertumpu kepada peralatan perubatan, farmaseutikal, kumpulan profesional dalam kalangan doktor dan ahli farmasi.
“Keseluruhan pemegang taruh dalam ekosistem kesihatan bersama-sama dalam acara tersebut.
Sepanjang tiga hari ini, kita dapat lihat jemputan panel terbaik iaitu 30 individu tempatan dan lebih 20 orang dari luar negara membincangkan pelbagai topik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, penganjuran MIH Megatrends merupakan persidangan penjagaan kesihatan yang menampilkan Malaysia kepada platform global.
“Saya berpendapat, inilah sebenarnya sasaran untuk KKM bersama KPJ yang mana kita mewujudkan banyak peluang. Dengan penganjuran MIH Megatrends, kita melibatkan semua pihak untuk menjadikannya inklusif.
“Adalah suatu kebanggaan kepada negara dalam menjadikan MIH Megatrends sebagai satu acara di bawah jenama penjagaan kesihatan Malaysia,” ujarnya.
MIH Megatrends 2024 menonjolkan perkembangan penting dalam bidang utama seperti AI, perubatan ketepatan dan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Ia turut menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung, antaranya penampilan istimewa pempengaruh kesihatan di ruangan Action Hub, demonstrasi produk terkini dan pendedahan tentang trend penjagaan kesihatan digital seperti teknologi AI dan teleperubatan.
Aktiviti awam termasuk pemeriksaan kesihatan, derma darah, perundingan kesihatan holistik seperti urutan dan akupuntur serta aktiviti menyeronokkan di ruang zon kanak-kanak selain program interaktif MIH Megatrends Live+ iaitu temu bual eksklusif dan pandangan tentang inovasi perubatan terkini. -KOSMO! ONLINE