Sebelum memulakan kerja seharian, ada sesetengah individu perlu mengambil kopi bagi meningkatkan kualiti pekerjaan.
Malah, trend minum kopi di Malaysia semakin berkembang dengan munculnya banyak kedai kopi.
Bukan itu sahaja, ramai juga yang memiliki mesin kopi sendiri di rumah dan mereka boleh menikmati minuman itu pada bila-bila masa.
Sementara itu, sekumpulan penyelidik dari Eropah telah mengkaji pengambilan kopi di beberapa bahagian di dunia.
Hasilnya menunjukkan pengambilan kopi di Asia adalah di antara satu hingga tiga cawan sehari.
Jumlah itu sebenarnya sedikit jika dibandingkan dengan Eropah dan benua Amerika di mana mereka mengambil empat hingga lima cawan kopi sehari.
Secawan kopi bukan hanya minuman, tetapi ia sudah menjadi kebiasaan, dan rutin harian ramai individu di sana.
Dalam menikmati aroma dan rasa kopi, ia penting untuk kita mengetahui risiko minum minuman itu kepada kesihatan pergigian.
Semua sudah sedia maklum bahawa sebab utama kopi diminum adalah untuk mendapatkan faedah daripada kafein yang terkandung di dalamnya.
Antara kesan kafein kepada badan adalah meningkatkan daya tumpuan, merendahkan tahap keletihan dan menghasilkan hormon bagi membantu meningkatkan keadaan fizikal badan serta minda.
Individu yang meminati kopi mungkin tidak sedar akan bahan lain yang terdapat dalam secawan kopi.
Bahan ini mampu memberi kesan buruk jika diambil terlampau banyak dan kerap.
Kopi sendiri mempunyai kandungan semula jadi dipanggil ‘tanin’ yang memberi rasa pahit kopi.
Malangnya, ‘tanin’ juga menyebabkan kesan perubahan warna pada permukaan gigi.
Bahan ini akan memberi reaksi terhadap lapisan luaran gigi iaitu enamel sehingga boleh memberi kesan kekuningan.
Pengambilan kopi berterusan dalam masa lama dan jumlah yang banyak akan menyebabkan kesan buruk.
Selain itu, kopi juga bersifat asid yang boleh menyebabkan kesan hakisan pada permukaan gigi, dan menyebabkan sensitiviti.
Trend rakyat Malaysia pada masa ini gemar menambah pelbagai perisa pada kopi seperti gula karamel dan sebagainya.
Ini menyebabkan risiko untuk mendapat karies atau lubang pada gigi meningkat.
Peminat tegar kopi boleh mengelakkan kesan buruk pada kesihatan dan estetik gigi dengan mengamalkan beberapa langkah pencegahan.
Langkah yang utama adalah dengan mengurangkan penambahan gula pada kopi, lebih elok jika tidak langsung meletakkan sebarang unsur pemanis.
Kesan kepada langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesihatan pergigian dari segi mengurangkan jumlah karies atau lubang pada gigi.
Malah, ia mampu membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis.
Bagi mengurangkan kesan kekuningan pada permukaan gigi, langkah mudah yang boleh dilakukan adalah dengan berkumur setelah minum kopi.
Ini dapat menghilangkan pigmen kekuningan pada permukaan gigi yang boleh menyebabkan perubahan warna.
Cara mudah yang lain adalah dengan menggunakan straw.
Langkah ini dapat mengelakkan sentuhan langsung cecair kopi pada permukaan gigi.
Peminat tegar kopi yang terkesan akibat kekuningan pada gigi memerlukan rawatan untuk memulihkan kembali senyuman.
Mereka perlu berjumpa dengan pengamal pergigian profesional.
Rawatan yang dapat dicadangkan adalah seperti pengskaleran gigi dan rawatan pemutihan gigi bagi menghilangkan kesan warna kopi.
Biasanya, pengamal pergigian bertauliah akan mencadangkan rawatan pergigian yang sesuai, khas bagi setiap masalah pergigian individu.
Dalam pasaran ketika ini, terdapat banyak produk pergigian untuk pemutihan gigi, dengan setiap satunya mempunyai pelbagai fungsi serta keberkesanannya.
Setiap pesakit dan individu perlu mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada pengamal pergigian sebelum memulakan sebarang rawatan pemutihan gigi.
Hakikatnya, pengambilan kopi dalam jumlah sederhana adalah amalan yang baik untuk mengelakkan kesan buruk kepada kesihatan serta estetik pergigian.
Hasil penyelidikan pada tahun 2023 menunjukkan, pengambilan lima cawan kopi sehari adalah jumlah maksimum untuk setiap individu.
Jadi, langkah pencegahan yang dicadangkan perlu diambil bagi membolehkan peminat kopi tegar masih boleh menikmati minuman tersebut tanpa perlu memikirkan kesan buruk pada kesihatan pergigian.