Usahawan dari Yunnan, China dinobatkan sebagai juara Miss World Kebaya 2024 pada pertandingan sempena Festival Kebaya Dunia 2024 yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.
Ariel Peiyu Yao, 28, yang menggayakan kebaya Nyonya berwarna hijau yang dipadankan dengan kain batik bermotif taburan bunga menarik perhatian juri sekali gus merangkul gelaran sampingan, Miss Body Beautiful.
Peiyu Yao yang baru menghabiskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti City, Petaling Jaya, menewaskan sembilan peserta lain iaitu dari Malaysia, Russia,Indonesia, Korea Selatan, Sudan, Kazakhstan, Afrika, Singapura dan Syria.
“Kemenangan ini memang bermakna bagi saya dan saya yakin dengan kemampuan diri untuk menyertainya kerana hampir setiap tahun saya menyertai pertandingan seperti ini.
“Kebaya sememangnya pakaian yang cantik, melambangkan keunikan masyarakat di negara ini dan boleh dipakai oleh semua wanita di seluruh dunia. Ia perlu dikekalkan sebagai warisan budaya,” katanya pada sidang media sejurus pertandingan.
Tempat kedua dimenangi peserta dari Kazakhstan, Rauan Kassymova, 24, dan tempat ketiga diraih oleh peserta dari Syria, Zainab Alkabbani, 27.
Siti Nur Afifah Zafirah, 26, dari Malaysia mendapat tempat keempat, manakala tempat kelima pula diraih Maria, 33, dari Russia.
Hadiah untuk juara berupa mahkota, sejambak bunga dan selempang yang disampaikan oleh Senator Datuk Seri Dr. Zurainah Musa. Pemenang juga menerima hadiah barangan kecantikan daripada penaja.
Turut hadir menyampaikan hadiah, Timbalan Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia,Mohd. Akbal Setia; Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman; Pengarah Miss World Kebaya and Miss Friendship International 2023, Nicole Fe Lynne serta Presiden dan Pengerusi Penganjur Miss World Kebaya 2024, Dr. Jason Hee.
Jason berkata, Festival Kebaya Dunia berlangsung selama 10 hari sejak 23 November lalu bagi meraikan kekayaan warisan budaya negara untuk dikongsikan di seluruh dunia.
“Diperkenalkan sejak 2011, ia lebih daripada sekadar kecantikan baju kebaya. Kita mahu pakaian tradisi yang unik ini diperkenalkan kepada seluruh dunia. Bagaimanapun festival ini tertunda pada tahun 2019 apabila pandemik Covid-19 melanda.
“Akhirnya pada 2024, festival ini kembali selepas kami melawat banyak negara untuk memperkenalkannya. Tahun ini kami menerima 15 penyertaan tetapi hanya tinggal sembilan kerana yang lain tidak dapat datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, bersempena Festival Kebaya Dunia itu juga dianjurkan Anugerah Fashion, Modeling and Pageant Awards 2024 (MFMPA) dengan puluhan tokoh dalam industri fesyen, peragaan dan ratu cantik diberikan anugerah.
Antaranya ialah Pengerusi Majlis Wanita Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Datuk Joanna Kitingan yang merupakan nama besar di sebalik populariti pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan.
“Saya merasa sangat bangga dan rendah hati dengan anugerah ini atas usaha mempromosikan budaya Sabah dan Malaysia terutama menerusi Unduk Ngadau. Pengiktirafan ini meningkatkan semangat saya untuk meneruskan warisan budaya ini.
“Unduk Ngadau juga telah berusia 65 tahun dan ia kini sudah dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan terkenal di seluruh dunia juga,” katanya yang turut menggayakan kebaya.
Anugerah-anugerah disampaikan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.