PETALING JAYA –Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan di Kelantan serta Terengganu bermula Sabtu sehingga Selasa hadapan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, ia disebabkan analisis model cuaca terkini menjangkakan luaran monsun berlaku di dua negeri tersebut.
“Selain itu terdapat satu kawasan bertekanan rendah dijangka terbentuk berhampiran timur Sabah pada 28 hingga 30 Disember.
“Kejadian ini berkemungkinan menyebabkan hujan berterusan di timur dan barat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk timur dan barat Sabah berkuat kuasa dari 28 hingga 30 Disember.
“Manakala amaran untuk Kelantan dan Terengganu pula berkuat kuasa pada 29 hingga 31 Disember ini,” katanya.
Tegasnya, orang awam diminta untuk sentiasa merujuk laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my dan media sosial rasmi mereka selain memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini. – KOSMO! ONLINE