BELFAST – Muncung sebuah pesawat Aer Lingus mendarat terlebih dahulu dalam cuaca angin kencang di Lapangan Terbang Belfast, Ireland Utara, lapor laman berita AirlineRatings.com semalam.
Ia mendarat selepas terbang dari Edinburgh, Scotland ketika hujan dan tiupan angin mencapai 38 knot.
“Tiada penumpang dalam pesawat yang datang dari Edinburgh ketika kejadian itu berlaku,” kata jurucakap Lapangan Terbang Belfast.
Namun, terdapat empat anak kapal berada di atas pesawat ATR 72-600 tersebut.
Lapangan terbang itu terpaksa ditutup pada petang Ahad lalu selepas pesawat terbabit terpaksa melakukan pendaratan sedemikian semasa cuaca ribut.
Tiga jentera bomba mendekati pesawat itu sejurus ia mendarat dengan selamat.
Anggota-anggota Pemeriksa Siasatan Kemalangan Udara dikerah ke lapangan terbang itu untuk melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut. – AGENSI