PETALING JAYA – Polis sudah mengenal pasti penumpang ketujuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang terbabit dalam kemalangan bersama empat kenderaan lain di Alor Gajah malam kelmarin.
Mangsa Muhammad Zareef Fadzreen, 7, menaiki kenderaan tersebut bersama datuk, nenek, ibu bapa saudara dan tiga sepupunya dalam perjalanan menghala ke Selangor.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kanak-kanak lelaki itu merupakan anak saudara Allahyarham Fadzlenna Ramli, 32, yang merupakan penumpang MPV berkenaan.
“Mangsa masih dirawat di Hospital Melaka,” katanya kepada Kosmo!
Kemalangan pada pukul 8.40 malam itu turut meragut nyawa suami Fadzlenna, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Turut terkorban ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Dua anak Khairul Ikhwan dan Fadzlenna iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, pula cedera dan masih menerima rawatan di Hospital Melaka. – KOSMO! ONLINE