BANDAR SERI BEGAWAN – Pengguna sebuah lebuh raya di Tutong, Brunei terkejut melihat seekor buaya mati di tengah jalan akibat dilanggar oleh sebuah kereta.
Menurut hantaran yang dikongsikan laman Facebook Brunei fm, buaya tersebut dilanggar oleh sebuah kereta BYD Sealion 6 Hybrid ketika mahu melintas jalan di Lebuhraya Penanjong.
Kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Beberapa gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan keadaan tayar kiri kereta tersebut yg tercabut, manakala reptilia berkenaan terbaring di tengah jalan.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Bayangkan buaya bangun semula macam dalam filem,” kata seorang netizen sambil merujuk kepada gambar seorang lelaki yang berdiri di sebelah reptilia itu.
“Ia (buaya) lari dari habitatnya. Kesian juga pemilik kereta, sudahlah kereta baharu. Mujur pemandunya selamat,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI