KUALA LUMPUR – Bekas pemain perseorangan negara, Yeoh Kay Bin diumumkan sebagai jurulatih baharu perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.
Pelantikan itu diumumkan secara rasmi Team Lee Zii Jia (Team LZJ) menerusi satu kenyataan yang dibuat di laman media sosial pasukan itu hari ini.
Team LZJ menganggap pengalaman dimiliki Kay Bin dalam bidang kejurulatihan mampu membantu bekas juara Asia dan All England itu bagi menghadapi cabaran seterusnya.
“Selamat datang ketua jurulatih baharu Team LZJ, Yeoh Kay Bin. Kay Bin, bekas pemain Malaysia memiliki pengalaman kejurulatihan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Beliau menyertai pasukan bagi meneruskan perjuangan Lee Zii Jia ke fasa seterusnya dalam kariernya,” kata pasukan itu menerusi kenyataan tersebut.
Pelantikan jurulatih berusia 44 tahun itu adalah bagi menggantikan Wong Tat Meng yang akan menamatkan khidmatnya pada 31 Disember ini.
Sebagai rekod, Tat Meng dilantik sebagai jurulatih Zii Jia pada Mei tahun lalu dan beliau berjaya mengemudi pemain No.6 dunia itu meraih gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Kay Bin pula merupakan naib juara Kejohanan Remaja Dunia 1998 di Melbourne, Australia selain pernah meraih gangsa Kejohanan Asia 2007. – KOSMO! ONLINE