KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah khalwat berulang yang akan dilaksanakan di Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini pada lusa bakal dipantau oleh 40 anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, penempatan anggota polis tersebut bertujuan bagi memastikan pelaksanaan hukuman syariah yang julung kali diadakan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekacauan dan provokasi.
“Setakat ini, pelaksanaan hukuman sebatan itu yang akan diadakan di ruangan khas tersebut hanya boleh disaksikan 70 individu.
“Sehubungan itu, jemaah lain dinasihatkan agar segera beredar dari pekarangan masjid sebaik selesai menunaikan solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Seorang duda anak lima, Mohd Affendi Awang, 42, bakal menjalani hukuman enam sebatan atas kesalahan berkhalwat buat kali ketiga di Masjid Al Muktafi Billah Shah selepas solat Jumaat pada lusa. – KOSMO! ONLINE