KUCHING – Polis mengambil tindakan segera dengan menggantung tugas dua anggotanya susulan kejadian rogol yang didakwa berlaku di dalam tandas lokap Balai Polis Pusat Miri, 9 Januari lalu.
Dalam kejadian itu seorang remaja perempuan mendakwa dia telah dirogol oleh seorang tahanan lain di dalam tandas di lokap tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidil Ismail berkata, kedua-dua anggota terbabit digantung kerja sementara siasatan rapi dijalankan.
“Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sehinggalah siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya.
Namun, beliau berkata, tahanan lelaki itu sudah didakwa atas pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari depan.
Dalam laporan polis, remaja perempuan berusia 16 tahun itu mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri, 8 Januari lalu, kerana disyaki terbabit aktiviti perjudian haram.
Dia kemudian ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.
Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.
Bagaimanapun, dia mendakwa, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.
Remaja itu mendakwa, antara jam 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki dikatakan memiliki kunci lokap tahanan wanita, membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya. – K! ONLINE.