MELAKA – Tujuh mangsa yang cedera dalam nahas melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara malam kelmarin masih menerima rawatan di Hospital Melaka setakat pukul 9 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, mereka terdiri daripada empat warga Singapura dan tiga rakyat tempatan.
Katanya, dua mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
“Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima akan menjalani pembedahan hari ini. Prosedur sama dijangka dilakukan ke atas pemandu lori namun ia bergantung keadaan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu dua buah lori, bas persiaran, kereta Perodua Bezza dan MPV Toyota Estima.
Mengulas lanjut Hee Sem memberitahu, dua daripada empat mangsa yang dirawat di sebuah hospital swasta di negeri ini telah dibenarkan pulang semalam, manakala dua mangsa lagi dibenarkan berbuat demikian hari ini. – KOSMO! ONLINE