LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca tidak merasakan kelab itu sedang dihimpit tekanan berlebihan untuk melunaskan jangkaan tinggi daripada peminat.
Dengan apa yang dipamerkan ketika ini, penyokong The Blues sedang ‘mimpi indah’ namun Maresca kekal dengan sikap realistik
Bagaimanapun Maresca menjelaskan kelab itu harus bersedia dalam pelbagai aspek dan tiada ‘jalan pintas’ yang mampu bantu pasukan raih kejayaan musim ini.
“Daripada segi permainan dan mata yang diraih, kami sudah pun melangkaui jangkaan. Namun fokus utama adalah meningkatkan kualiti pemain dan pasukan.
“Ia tidak berkisar kepada tekanan untuk merebut kejuaraan tetapi ini juga adalah realiti yang kami perlu hadapi. Kami perlu gunakan semua aspek untuk terus tampil lebih baik.
“Realitinya sekarang kami berada di tempat kedua manakala Liverpool sedang melakukan tugas mereka dengan cukup baik. Apa pun kami tetap gembira dengan kedudukan kami sekarang,” katanya.
Malam esok The Blues akan melayan kunjungan Fulham ke Stamford Bridge dan ia menjadi kesempatan terbaik buat Maresca mengembalikan rentak kemenangan selepas diikat tanpa jaringan oleh Everton, Ahad lalu. – AGENSI