LONDON – Jelitawan tenis Britain, Emma Raducanu berharap mampu memenuhi potensi sebenar yang ada pada dirinya selepas meletakkan sasaran untuk mengharungi kempen lebih cemerlang musim depan.
Pemain berusia 22 tahun itu bakal memulakan kempen 2025 lebih awal apabila akan beraksi pada kejohanan Antarabangsa Auckland yang berlangsung di New Zealand bermula 30 Disember hingga 5 Januari depan.
Selepas melantik Yukata Nakamura sebagai jurulatih kecergasan, Raducanu dijangka mampu untuk mengatasi masalah kecergasan yang dihadapi sebelum ini sehingga menyaksikan rankingnya menjunam ke No.301 dunia.
“Saya mahu bermain lebih banyak kejohanan pada musim 2025 berbanding tahun ini. Saya fikir dengan barisan kejurulatihan yang ada, saya berada pada landasan yang betul untuk meneruskan karier.
“Sekarang saya melakukan latihan kercergasan hampir setiap hari dan secara terperinci. Bagi saya, ia menjadi nilai tambah yang cukup berharga untuk saya berdepan cabaran pada musim hadapan,” katanya.
Sebagai rekod, Raducanu mencipta sensasi pada 2021 apabila menjadi juara Terbuka Amerika Syarikat di usia masih muda meskipun ketika itu dia memulakan saingan pada pusingan kelayakan.
“Saya benar-benar ingin tahu di manakah tahap saya pada ketika ini, adakah saya mampu untuk memenuhi potensi yang ada. Apa yang penting sekarang adalah saya perlu kekal cergas dan bermain lebih banyak kejohanan,” ujarnya. – AGENSI