WOKING – Pelumba pasukan McLaren, Oscar Piastri sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan dia tampil dengan aksi lebih kemas menjelang saingan Formula Satu (F1) bagi kempen 2025.
Dia menganggap sesi kelayakan merupakan kelemahan ketara yang ada pada dirinya jika dibandingkan dengan rakan sepasukan, Lando Norris biarpun memiliki kelebihan ketika perlumbaan sebenar.
Justeru, Piastri melaungkan keazaman untuk memperbaiki prestasinya dari segi kelayakan bagi memastikan dia mampu mencabar petak hadapan musim depan biarpun pada ketika ini saingan F1 sedang berehat.
“Pada musim ini, saya fikir sudah menunjukkan perkembangan positif tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Saya rasa masih ketinggalan dengan pelumba-pelumba lain ketika sesi kelayakan.
“Bagi saya, ia (kelayakan) menyebabkan cabaran yang dihadapi lebih sukar. Oleh itu, saya akan memberikan lebih fokus bagi memperbaiki catatan masa ketika sesi kelayakan dalam setiap perlumbaan,” katanya.
Piastri juga percaya, sekiranya mampu memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan, dia boleh bersaing dengan pelumba-pelumba kelompok hadapan dengan lebih kerap selain berpotensi mencabar kejuaraan.
“Sekarang saya perlu mencapai potensi yang ada pada diri sendiri. Jika kami dapat melakukannya, saya yakin saingan musim depan akan menjadi lebih menyeronokkan untuk saya dan pasukan,” ujarnya. – AGENSI