PARIS – Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo percaya pasukan itu sudah menunjukkan peningkatan ketara dari segi mentaliti sepanjang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Pasukan dari Jepun itu sudah pun mengharungi dua musim tanpa kemenangan selain bergelut untuk bersaing dalam kelompok hadapan sejak kali terakhir menjadi pencabar kejuaraan dunia pada 2022.
Bagaimanapun, semua detik mengecewakan itu bakal berlalu memandangkan Yamaha dijangka memperkenalkan enjin baharu bagi memastikan mereka kembali mencabar kejuaraan dunia pada saingan musim hadapan.
“Pada awal saingan musim ini, memang saya mahukan jentera yang lebih laju dan kami melakukan beberapa naik taraf. Bagi saya, sangat penting untuk memantapkan jentera, begitu juga dengan mentaliti kami.
“Kemudian kami berjaya melakukan beberapa perubahan dalam beberapa aspek, terutamanya dari segi elektronik. Saya fikir mentaliti lama dalam Yamaha sudah pun berubah dan kami hanya fokus untuk musim hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Yamaha turut mendapat suntikan semangat dalam usaha membangunkan jentera yang lebih mantap apabila bakal memiliki dua lagi jentera menerusi pasukan satelit, Pramac Racing.
“Saya tahu kami baru sahaja melakukan perubahan pada tahun ini, namun ia akan diteruskan tahun depan. Saya sudah dapat merasakan kami mampu bersaing kerana perubahan ini membawa kesan positif kepada pasukan,” ujar Quartararo. – AGENSI