fbpx

Pilihan raya pertama Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmoud (kanan) menyerahkan satu dekri pilihan raya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat, Hanna Nasser di Ramallah, Tebing Barat di Palestin semalam. – AFP

RAMALLAH, WILAYAH PALESTIN – Presiden Mahmoud Abbas mengumumkan tarikh pilihan raya umum Palestin yang pertama dalam tempoh 15 tahun kelmarin.

Mahmoud berkata, pilihan raya akan diadakan pada 22 Mei ini diikuti pilihan raya Presiden pada 31 Julai tahun ini

Parti Fatah pimpinan Mahmoud yang berpusat di Tebing Barat, menguasai kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) manakala gerakan Hamas ber­tahun-tahun menguasai wilayah Genting Gaza

Kedua-dua belah pihak sudah menunjukkan minat untuk me­ngadakan pilihan raya tersebut.

Namun, satu perbalahan panjang antara Fatah dan Hamas menjadi faktor utama pilihan raya tergendala sekian lama di Palestin.

Bagaimanapun, Fatah dan Hamas menampakkan kemajuan dalam rundingan untuk penyatu­an, mencapai satu persetujuan asas pada September lalu untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Kelmarin, Hamas menyambut baik pengumuman oleh Mahmoud.

“Sejak beberapa bulan lalu, kami bekerja untuk menyelesaikan halangan untuk mencapai hari ini (pengumuman pilihan raya kelmarin),” menurut parti itu dalam satu kenyataan.

Parti itu juga menyatakan ia ke arah ‘pilihan raya bebas de­ngan pengundi-pengundi boleh mengekspresi diri sendiri tanpa tekanan dan sekatan, semua ­secara adil dan telus’.

Satu kenyataan daripada agensi berita rasmi Palestin, Wafa menyatakan Mahmoud menandatangani ‘satu dekri presiden berhubung pilihan raya, menetapkan tarikh pada bulan Mei dan Julai ini.

“Ini pengumuman yang ditunggu-tunggu. Ini satu langkah amat penting,” kata penganalisis Palestin, Arif Jaffal yang juga Ketua Badan Pemantau Elektoral dan Demokrasi Dunia Arab.

Pilihan Raya Presiden Palestin 2005 menyaksikan Mahmoud menang dengan 62 peratus sokongan bagi menggantikan ­Allahyarham Yasser Arafat.

Setakat ini, tiada petunjuk daripada Fatah sama ada Mahmoud yang berumur 85 ­tahun bercadang mempertahankan kedudukannya.

Satu tinjuan pendapat oleh Pusat Polisi dan Penyelidikan Palestin yang dijalankan pada tahun lalu mendapati pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh mungkin boleh menewaskan Mahmoud dalam pilihan raya presiden.

Kenyataan daripada Mahmoud menyatakan beliau menjangkakan pilihan raya akan diadakan ‘di semua mukim Pales­tin termasuk Baitulmuqaddis Timur yang ditakluki Israel susulan Perang Enam Hari 1967.

Israel melarang semua aktiviti PA di Baitulmuqaddis Timur dan tiada petunjuk bahawa rejim ­Zionis akan membenarkan satu undian Palestin di bandar itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga akan bertanding dalam pilihan raya Israel untuk cuba mengekalkan kerusinya pada Mac ini.

Perdana Menteri Palestin, ­Mohammed Shtayyeh menyatakan kerajaan beliau ‘bersedia menjalankan tugas untuk membantu proses membuang undi secara telus sepenuhnya’.

Ada kira-kira 2.8 juta rakyat Palestin menetap di Tebing Barat dan sekitar dua juta lagi di Semenanjung Gaza.

Pilihan raya Parlimen Palestin pada 2006 menyaksikan ­Hamas menang besar. Hasil undian membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan tetapi berpecah pada tahun 2007. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI