KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung kes kematian kucing di kawasan Universiti Malaya, di sini serta kenyataan yang dikeluarkan seorang aktivis haiwan berhubung kes tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada Khamis ini.
“Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kes kematian kucing dan kenyataan yang dikeluarkan oleh aktivis haiwan seperti yang dilaporkan dalam media.
“Rakaman percakapan pihak berkenaan akan diambil pada hari Khamis,” katanya ringkas, hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, aktivis haiwan, Shima Aris mendakwa kucing yang ditemui mati di UM dengan keempat-empat kaki seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan dibunuh dengan senjata tajam.
Perkara itu diperoleh hasil pemeriksaan terperinci doktor veterinar yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas kucing bernama Lily.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan ke atas kamera televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan anjing liar menyerang beberapa ekor kucing sehingga menyebabkan kematian.
Hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan kecederaan yang dialami haiwan tersebut akibat serangan haiwan liar. Setakat ini, polis menerima tiga laporan mengenai kejadian itu pada 17, 20 dan 21 Disember.
Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat insiden tersebut berlaku.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE.