PETALING JAYA – Lebih cepat daripada tarikh jangkaan, penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan swasta ibu negara semalam.
Wakil pengurusan penyanyi itu iaitu Nabila Razali Entertainment memaklumkan, Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, melahirkan bayinya seberat 3.1 kilogram (kg) secara pembedahan.
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.
“Setiap detik yang saya lalui untuk mencapai momen ini penuh dengan cabaran dan harapan. Akhirnya, Allah SWT kurniakan amanah ini buat saya dan suami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudah mendoakan kesejahteraan dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa peminat dan rakan selebriti turut membanjiri media sosial miliknya dengan ucapan tahniah dan doa buat Nabila.
Terdahulu, Nabila dan suami, Nik Iruwan Nik Izani melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Bukit Tinggi, Pahang.
Kemudian, pada awal Oktober lalu, Nabila memaklumkan dirinya sedang hamil dan dijangka bakal bersalin pada awal tahun hadapan – KOSMO! ONLINE