BANGKOK – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di wilayah Phetchabun ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di tengah jalan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Lelaki berusia 35 tahun yang dikenali sebagai Bie, bertindak demikian di Jalan Saraburi-Lom Sak pada 21 Disember lalu.
Dalam sebuah video tular, dia menunggang motosikal dengan sebelah kaki di atas tempat duduk dan sebelah tangan dilepaskan dari hendal.
Selepas video itu tular, dia ditahan oleh polis bersama-sama motosikal Kawasaki Z-250 miliknya.
“Saya bertindak demikian kerana berasa teruja dan tidak memahami sepenuhnya risiko yang menanti,” kata Bie selepas ditahan.
Dia ditahan atas kesalahan menunggang motosikal dalam cara yang mengabaikan keselamatan orang lain dan akan didakwa di mahkamah. – AGENSI